OLEH:
DR.
NORHANA BAKHARY
PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH SEREMBAN
Rupa dan bentuk pendidikan yang sesuai dengan generasi abad ke-21 telah
banyak diperkatakan dan banyak bahan-bahan penulisan yang mengulas mengenai
pendidikan yang mampu memenuhi harapan dan keperluan pendidikan masa kini dan
masa depan. Rata-rata pakar pendidikan bersetuju bahawa kaedah pengajaran dan
pembelajaran perlu berubah sesuai dengan perkembangan, keperluan dan tuntutan
dunia pendidikan semasa. Kaedah pengajaran konvensional seperti “chalk and
talk” semata-mata tidak lagi menarik minat murid, sebaliknya proses pengajaran
kini memerlukan kaedah yang lebih dinamik dan kreatif dengan kandungan
pengajaran yang relevan sesuai dengan perkembangan semasa.
Semua pihak yang terlibat secara
langsung dengan dunia pendidikan perlu menyedari bahawa “tiada ruang untuk tidak
ikut sama” dalam melaksanakan
transformasi pendidikan. Malah perubahan dalam pendidikan perlu sentiasa
seiring perkembangan zaman atau selangkah kehadapan. Guru-guru perlu bersedia
menerima perubahan dan dapat mengurus perubahan dengan cekap dan berkesan agar
pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih segar dan memenuhi keperluan murid.
Menyedari kepentingan guru memahami dan bersedia melakukan perubahan
dalam pengajaran dan pembelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia telah
melancarkan inisiatif pembelajaran abad ke-21 secara rintis pada tahun 2014 dan
meluaskan pelaksanaan keseluruh negara mulai tahun 2015. Justeru perbincangan
kali ini akan membuat perkaitan antara SPI, KBSM/KSSM, DSKP/HSP dan tuntutan
pelaksanaan PAK 21.
No comments:
Post a Comment