Monday 21 May 2018

MODUL 1: PELAKSANAAN PEMBELAJARAN DAN PEMUDAHCARAAN (PDPC) BERDASARKAN SKPMG2 STANDARD 4

e-BIMBINGAN DAN PEMENTORAN OLEH PEGAWAI SISC+
Pn. Nor Aisah bt Jamil
Pejabat Pendidikan Daerah Seremban
Negeri Sembilan.


MODUL 1: PELAKSANAAN PEMBELAJARAN DAN PEMUDAHCARAAN (PDPC) BERDASARKAN SKPMG2 STANDARD 4 

PENDAHULUAN

Kecemerlangan akademik murid sering kali dikaitkan dengan kaedah pengajaran oleh guru dan juga gaya pembelajaran seseorang murid. Secara umumnya pengajaran adalah proses penyampaian kemahiran, ilmu pengetahuan, sikap dan nilai. Manakala pembelajaran boleh didefinisikan sebagai proses pemerolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat serta pembentukan sikap dan kepercayaan. 

Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkesan memerlukan para guru memahami peranannya, muridnya dan persekitarannya. Ini disebabkan para guru dan murid kerap kali membawa pengalaman mereka dalam pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, guru perlu benar-benar mengetahui pelbagai model, kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran, dan berusaha menggunakannya mengikut keadaan dan kesesuaian.

Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) telah menyediakan satu standard yang dikenali Standard Kualiti Pendidikan Malaysia gelombang 2: Pembelajaran dan Pemudahcaraan (SKPMg2 S4) membolehkan mengukur kualiti pelaksanaan PdPc dalam bilik darjah atau luar bilik darjah. Peranan guru sebagai pemudahcara ialah memberi bimbingan, motivasi dan menggerakkan murid-murid dalam kelasnya agar menjalankan serta mengikuti aktiviti pembelajaran dan memastikan penggunaan strategi pengajaran berpusatkan murid dan berpusatkan bahan belajar.




Bagaimana SKPMg2 dapat meningkatkan prestasi dan  pencapaian sekolah ?


Menjadikan SKPMg2 sebagai milik sekolah dan dilaksanakan untuk keperluan dan kepentingan sekolah itu sendiri.


PERANAN GURU DALAM MELAKSANAKAN PDPC



Guru berperanan sebagai pemudah cara dalam proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang berkesan untuk memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh dan meningkatkan pencapaian murid pada tahap optimum secara berterusan. Standard Kualiti Pendidikan Malaysia gelombang 2 (SKPMg2) Standard 4 merupakan standard yang digunakan untuk memandu guru ke arah proses kerja yang betul dalam meningkatkan akauntabiliti serta sebagai alat pengukuran kualiti guru melaksanakan PdPc dalam bilik darjah juga di luar bilik darjah melalui pemantauan berterusan.


Guru sebagai perancang

Guru bertindak sebagai perancang untuk memastikan kesediaan dan persediaan yang rapi dalam melaksanakan Pembelajaran dan Pemudahcaraan. Rancangan mengikut tahap pencapaian murid. Guru sebagai perancang yang baik perlu ada kemahiran merungkai kurikulum (Unpacking the Curriculum) iaitu menyusun semula Standard Kandungan, Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi ke dalam RPT dan RPH mengikut keupayaan murid semasa pelaksanaan PdP dengan menggunakan pedagogi yang bersesuaian bagi mencapai objektif pembelajaran.

Sumber: KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA


Eviden guru sebagai perancang:


1. Rancangan Pelajaran Tahunan
Mengandungi secara ringkas isi pengajaran dan pembelajaran berdasarkan sukatan pelajaran kebangsaan. Pemetaan topik berdasarkan jumlah minggu setahun. 

Sumber: KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

2. Rancangan Pelajaran Harian
Merupakan terjemahan RPT yang mengandungi maklumat seperti objektif, cara bagaimana hendak mencapai objektif (aktiviti) dan kenyataan sejauh mana objektif itu tercapai (refleksi). Susun semula SK dan SP (pengetahuan, kemahiran, nilai) dengan objektif dan strategi PdP. Aktiviti dan strategi PdP disesuaikan dengan kebolehan/keupayaan murid untuk mencapai objektif. Kaedah pentaksiran adalah berdasarkan objektif.

Sumber: KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

Berdasarkan SKPMg2 Standard 4, guru bertindak sebagai perancang PdPc memerlukan penyediaan perancangan pelajaran harian (RPH) yang mengambil kira tiga tindakan utama untuk mencapai standard kualiti. Tindakan guru merancang pelaksanaan PdPc dengan:

  1. Menyediakan RPH yang mengandungi objektif yang boleh diukur dan aktiviti pembelajaran yang sesuai. 
  2. Menentukan kaedah pentaksiran dalam PdPc 
  3. Menyediakan ABM/BBM/TMK 
Tindakan dilaksanakan: 
i.   mengikut pelbagai aras keupayaan murid 
ii.  mengikut peruntukan masa yang ditetapkan 
iii. mengikut ketetapan kurikulum/arahan yang berkuat kuasa

Sumber: JEMAAH NAZIR JAMINAN KUALITI (JNJK)

PENSKORAN 

Penskoran tahap kualiti ke atas setiap tindakan guru merancang pelaksanaan PdPc berdasarkan tindakan yang dilaksanakan dengan mengambil kira gabungan perkara yang terdiri daripada pelbagai aras keupayaan murid, mengikut peruntukan masa yang ditetapkan, dan mengikut ketetapan kurikulum/arahan yang berkuat kuasa

Penskoran Tahap 4 - jika tindakan guru merancang pelaksanaan PdPc berdasarkan tiga perkara yang terdiri daripada pelbagai aras keupayaan murid, mengikut peruntukan masa yang ditetapkan, dan mengikut ketetapan kurikulum/arahan yang berkuat kuasa.


Penskoran Tahap 3 - jika tindakan guru merancang pelaksanaan PdPc berdasarkan dua perkara yang terdiri daripada pelbagai aras keupayaan murid dan mengikut peruntukan masa yang ditetapkan, atau pelbagai aras keupayaan murid dan mengikut ketetapan kurikulum/arahan yang berkuat kuasa.


Penskoran Tahap 2 - jika tindakan guru merancang pelaksanaan PdPc berdasarkan dua perkara yang terdiri daripada mengikut peruntukan masa yang ditetapkan dan mengikut ketetapan kurikulum/arahan yang berkuat kuasa.

Penskoran Tahap 1 - jika tindakan guru merancang pelaksanaan PdPc berdasarkan mana-mana  satu perkara sahaja yang terdiri daripada pelbagai aras keupayaan murid atau mengikut peruntukan masa yang ditetapkan atau  mengikut ketetapan kurikulum/arahan yang berkuat kuasa.

Penskoran Tahap 0 - jika tindakan guru merancang pelaksanaan PdPc tidak berdasarkan mana-mana perkara kualiti.







Merujuk standard 4 dalam SKPMg2, RPH merupakan eviden bagi guru bertindak sebagai perancang pelaksanaan PdPc. Penskoran terhadap tahap tindakan (TT) dan tahap kualiti (TK) adalah berdasarkanpertimbangan profesional "professional judgment". Takrifan kerja kolektif pertimbangan profesional adalah: "Mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman, dengan cara yang dimaklumkan oleh piawaian profesional, undang-undang dan prinsip-prinsip etika, untuk membuat pendapat atau keputusan tentang apa yang perlu dilakukan secara terbaik."

Berikut adalah contoh penskoran tahap tindakan (TT) dibuat ke atas TUMS 4.1.1. 




Berdasarkan RPH di atas, menunjukkan bahawa semua tindakan guru sebagai perancang ada dalam penulisan RPH tersebut. Tindakan tersebut terdiri daripada guru merancang objektif dan aktiviti, kaedah pentaksiran serta penggunaan ABM/BBM/TMK bagi pelaksanaan PdPc. Skor bagi tahap tindakan guru menyediakan RPH adalah pada tahap 4. Berikut adalah penskoran tahap kualiti terhadap setiap tindakan guru sebagai perancang pelaksanaan PdPc. 

1. Penskoran tahap kualiti (TK) bagi TUMS 4.1.1 (i): Perancangan Objektif dan Aktiviti PdPc


Penskoran tahap kualiti guru merancang pelaksanaan PdPc dengan menyediakan RPH yang mengandungi objektif yang boleh diukur dan aktiviti pembelajaran yang sesuai. Kefahaman tentang objektif pembelajaran yang boleh diukur boleh rujuk dan klik URL di bawah:
Manakala, bagi memahami maksud aktiviti pembelajaran yang sesuai pula merujuk kepada pembelajaran berpusatkan murid yang sesuai dengan objektif pembelajaran yang ditetapkan. Berikut adalah antara URL yang boleh dirujuk:
  1. Strategi pemusatan murid (pedagogi dalam Pendidikan)
  2. Laman Pendidikan: Pembelajaran Berpusatkan Pelajar
  3. cikgusuhaimin: Aktiviti Pembelajaran Abad-ke-21

Berdasarkan RPH tersebut, menunjukkan objektif dan aktiviti pembelajaran tidak dapat dikenalpasti perancangannya mengandungi aspek pelbagai aras keupayaan murid. Namun RPH itu dapat dikenalpasti terdapat aspek tindakan dilaksanakan mengikut peruntukan masa yang ditetapkan pada sekitar pukul 11.30 hingga 12.30 pagi dalam tempoh satu jam dan mengikut ketetapan kurikulum/arahan yang berkuat kuasa melalui pernyataan standard kurikulum SP: 1.7.2. Oleh yang demikian, skor tahap kualiti TUMS 4.1.1 (i) adalah pada skor 2. 

2. Penskoran tahap kualiti (TK) bagi TUMS 4.1.1 (ii): Perancangan Kaedah Pentaksiran PdPc

Pentaksiran bertujuan mendapatkan gambaran tentang prestasi murid dalam pembelajaran, menilai aktiviti yang dijalankan semasa PdPc, mendapatkan maklumat secara berterusan tentang keberkesanan PdPc, memperbaiki serta merancang aktiviti PdPc yang tersusun dan sistematik bersesuaian dengan tahap keupayaan murid. Pentaksiran dijalankan dengan mencakupi seluruh murid terlibat dalam kelas secara efektif. Guru merancang dan melaksanakan pelbagai kaedah pentaksiran bagi mengenalpasti tindak susul yang berkesan dalam memperbaiki kualiti pengajaran dan pembelajaran. Berikut adalah rujukan untuk melaksanakan pentaksiran:



Berdasarkan RPH berikut, tahap kualiti tindakan guru merancang kaedah pentaksiran dalam bilik darjah tidak dapat menunjukkan tindakan yang dilaksanakan mengambil kira pelbagai aras keupayaan murid. Tidak ada eviden pada RPH yang menunjukkan pentaksiran secara terbeza. Namun perancangan kaedah pentaksiran boleh dibuktikan mengambil kira peruntukan masa yang ditetapkan dengan adanya catatan masa pada RPH dan ketetapan kurikulum/arahan yang berkuatkuasa pula dapat dilihat dengan adanya catatan SK dan SP yang selari dan sepadan dengan aspek yang ditaksir oleh guru. Jesteru itu, skor tahap kualiti TUMS 4.1.1 (ii) adalah pada skor 2.

3. Penskoran tahap kualiti (TK) bagi TUMS 4.1.1 (iii): Perancangan Penggunaan ABM/BBM/BBB/TMK


Penggunaan bahan/alat bantu mengajar (BBM/ABM) atau bahan/alat bantu belajar (BBB/ABB) atan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) yang merupakan sumber pendidikan dalam kalangan guru di sekolah memberi kesan yang positif terhadap kecemerlangan akademik pelajar dan kaedah pengajaran guru itu sendiri. Penggunaan BBM/ABM/BBB/ABB/TMK oleh guru mampu membuatkan pelajar fokus kepada pengajaran sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Selain itu, PdP yang menggunakan sumber pendidikan yang berkesan mampu meningkatkan kualiti pembelajaran pelajar terhadap pelajaran yang disampaikan. Secara tidak langsung, pelajar dapat mengingat secara visual dan hands on berdasarkan BBM/ABM/BBB/ABB/TMK sebagai sumber pendidikan yang digunakan oleh guru. Berikut adalah rujukan guru bagi memahami penggunaan BBM/ABM/BBB/ ABB/TMK secara berkesan (klik capaian pada URL):

  • Kemahiran Pemilihan Dan Aplikasi Alat Bantu Mengajar (ABM)

  • Pengurusan Sumber

Merujuk SKPMg2 S4 pula, persoalannya ialah adakah tindakan perancangan guru menggunakan BBM/ABM/BBB/ ABB/TMK mencapai tahap kualiti mengikut standard yang ditetapkan? 


Berdasarkan RPH tersebut, tahap kualiti tindakan guru merancang penggunaan BBM/ABM/BBB/ABB/TMK tidak dapat menunjukkan tindakan yang dilaksanakan mengambil kira pelbagai aras keupayaan murid. Tidak ada eviden pada RPH yang menunjukkan penggunaan BBM/ABM/BBB/ABB/TMK secara terbeza. Namun perancangan penggunaan BBM/ABM/BBB/ABB/TMK boleh dibuktikan mengambil kira peruntukan masa yang ditetapkan dengan adanya catatan masa pada RPH dan ketetapan kurikulum/arahan yang berkuatkuasa pula dapat dilihat dengan adanya catatan SK dan SP yang selari dan sepadan dengan penggunaan BBM/ABM/BBB/ABB/TMK oleh guru. Jesteru itu, skor tahap kualiti TUMS 4.1.1 (iii) guru merancang penggunaan BBM/ABM/BBB/ABB/TMK dalam RPH adalah pada skor 2.

Setelah ditentukan tahap tindakan guru sebagai perancang PdPc dengan mengambil kira aspek tahap kualiti, penskoran terhadap tindakan untuk mencapai standard dibuat dengan melalui auto pengiraan pada tapak excel.

   

Pengisian skor tahap tindakan (TT) dengan "1" jika menunjukkan ada tindakan dan "0" jika tiada tindakan. Skor tahap kualiti (TK) pula diisi dengan "0" atau "1" atau "2" atau "3" atau "4" bergantung kepada aspek yang dipenuhi. Berdasarkan RPH tersebut, dapatan skor yang dapat dibuat dengan kesemua tindakannya ada dan tahap kualiti setiap tindakan pada skor 2 ialah menunjukkan peratus TUMS 4.1.1 pada 62.5%. 


Guru sebagai pengawal



Guru bertindak sebagai pengawal pelaksanaan PdPc untuk memastikan kelancaran proses pembelajaran mengikut perancangan. 

4.2.1 Guru mengawal proses pembelajaran secara terancang. 

Mengelola isi pelajaran dan peruntukan masa serta memberi peluang kepada penyertaan aktif murid dengan menepati objektif pelajaran, mengikut keupayaan murid dan secara berterusan dalam PdPc.





   
Contoh tindakan guru sebagai pengawal

4.2.2 Guru mengawal suasana pembelajaran secara profesional dan terancang

Mengawasi komunikasi dan perlakuan murid, menyusun atur kedudukan murid dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan secara berhemah, mengikut kesesuaian dan keperluan, secara menyeluruh dan berterusan.





Guru Sebagai Pembimbing


Guru bertindak sebagai pembimbing untuk membolehkan murid menguasai pengetahuan, kemahiran dan mengamalkan nilai berdasarkan objektif pelajaran.


4.3.1 Guru membimbing murid secara profesional dan terancang.



Memberi tunjuk ajar dalam menguasai isi pelajaran dan kemahiran, memandu murid membuat keputusan dan menyelesaikan masalah serta menggunakan sumber pendidikan, dan mengabung isi pelajaran dengan kemahiran /mata pelajaran lain mengikut keperluan dan keupayaan murid dengan betul, tepat secara berhemah dan bersungguh-sungguh



Guru Sebagai Pendorong

Guru bertindak sebagai pendorong untuk meningkatkan motivasi murid dalam pembelajaran



4.4.1 Guru mendorong minda murid melaksanakan aktiviti pembelajaran secara terancang



Merangsang murid berkomunikasi dan berkolaboratif, mengemukakan soalan yang menjuru kepada pemikiran kritis dan kreatif dan membuat keputusan atau menyelesaikan masalah, mewujudkan peluang untuk murid memimpin dan mengemukakan soalan berkaitan isi pelajaran serta memperoleh pengetahuan dan kemahiran secara kendiri berdasarkan objektif pelajara, mengikut keupayaan murid dan secara berterusan.







4.4.2 Guru mendorong emosi murid melaksanakan aktiviti pembelajaran secara terancang


Memberi pujian, galakan, penghargaan dan keyakinan serta prihatin terhadap keperluan murid secara berhemah, menyeluruh dan berterusan.






Guru Sebagai Penilai


Guru sebagai penilai untuk mengesan tahap penguasaan murid.

4.5.1 Guru melaksanakan penilaian secara sistematik dan terancang


Menggunakan pelbagai kaedah pentaksiran, menjalankan aktiviti pemulihan dan pengayaan, membuat refleksi serta menyemak hasil kerja murid berdasarkan objektif pelajaran, mengikut ketetapan pelaksanaan pentaksiran yang berkuat kuasa, secara menyeluruh dan berterusan.



Murid Sebagai Pembelajar Aktif


Murid bertindak sebagai pembelajar aktif untuk menguasai pengetahuan dan kemahiran serta mengamalkan nilai positif.


4.6.1 Murid melibatkan diri dalam proses pembelajaran secara berkesan

Memberi respons, berkomunikasi dan melaksanakan aktiviti secara kolaboratif, berpemikiran kritis dan kreatif, mengemukakan soalan, menyelesaikan masalah dan mengaitkan isi pelajaran dengan kehidupan berdasarkan objektif pelajaran, secara aktif, yakin dan berhemah.





CONTOH RPH PEMBELAJARAN TERBEZA



Mohon scan pada QR Code berikut dan lengkapkan untuk penilaian bimbingan dan pementoran dalam talian bagi modul 1 dan maklum balas penambahbaikan perkhidmatan.

PENILAIAN E BIMBINGAN DAN PEMENTORAN MODUL 1
(PELAKSANAAN PEMBELAJARAN DAN PEMUDAHCARAAN (PDPC) BERDASARKAN SKPMG2 STANDARD 4)

BORANG MAKLUM BALAS PERKHIDMATAN PK05-02
(PERKHIDMATAN: e BIMBINGAN DAN PEMENTORAN)
PEGAWAI SISC+: NOR AISAH BT JAMIL


11 comments:

  1. salam...elakkan guna eviden utk standard 4 dan gantikan dengan catatan

    ReplyDelete
  2. Terima kasih di atas keperihatinan anda. Perkataan eviden itu merujuk kepada bukti tindakan guru dlm melaksanakan peranan mereka. Pada pandangan saya sekiranya digantikan dengan perkataan catatan agak kurang sesuai kerana ia tidak merujuk kepada tindakan. Namun saya akan buat penambahbaikan kepada 'contoh tindakan'. Itu lebih tepat.

    ReplyDelete
  3. Tahniah Cgu Aisah, suatu inovasi yg sangat baik!

    ReplyDelete
  4. tahniah.. saya share ye ilmu cikgu

    ReplyDelete
  5. Sangat bagus perkongsian cikgu ini..Minta izin share ya..

    ReplyDelete
  6. Tahniah dan inovasi ini sangat membantu, izinkan saya memanfaatkan ilmu yang diberi

    ReplyDelete
  7. sangat membantu untuk menjadi rujukan

    ReplyDelete
  8. terima kasih kerana berkongsi ilmu.moga ilmu anda ini dapat saya manafaatkan

    ReplyDelete

e - BIMBINGAN & PEMENTORAN

MODUL 7: MARI MENGENAL FROG VLE

Oleh: Dr. Norhana binti Bakhary PENDAHULUAN Frog VLE  @  merupakan suatu sistem pembelajaran maya berasaskan web (web-based v...